Archive | PR RSS feed for this section

Surat letak jawatan 2 ADUN memang wujud , Speaker ada bukti – MB Perak

2 Feb

PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, surat peletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat memang wujud berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

“Surat itu memang ada dan ia ditujukan kepada Speaker.

“Ini bermakna beliau ada bukti bagi mengatakan yang kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering sememangnya telah kosong.

“Dalam Perak ini, Speaker mempunyai kuasa berhubung hal tersebut,” katanya.

Berhubung dakwaan Jamaluddin bahawa surat tersebut telah ditandatangani pada 8 Mac lalu oleh beliau dan tujuh ADUN PKR yang lain, Mohammad Nizar berkata, hal itu sepatutnya ditanya kepada Jamaluddin kerana beliau yang menandatangani surat itu.

“Kalau hendak letak jawatan, ia sememangnya memerlukan persetujuan beliau,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mengetahui tentang penghantaran surat itu, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya kerana Menteri Besar dan Speaker mempunyai kuasa yang berasingan.

Perak Masih Teguh Di Bawah Pakatan Rakyat

2 Feb

Tindakan Speaker yang mengumumkan perletakan jawatan dua orang exco PKR adalah tepat yang dengannya telah menyebabkan kedua-dua exco berkenaan dikeluarkan dari tempat persembunyian mereka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kedua-duanya menafikan telah menghantar surat perletakan jawatan tetapi kedua-duanya tidak menafikan pernah menandatangani surat perletakan jawatan tanpa tarikh selepas memenangi pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

Semasa menandatangani surat tersebut pada 8 Mac lalu, sepastinya mereka penuh berkesadaran akan implikasinya, dan menerima risiko seandainya berpaling tadah.

Seperti sekeping cek kosong yang ditandatangi sekalipun tanpa tarikh, ia boleh ditunaikan di bank dengan pembawanya menulis tarikhnya bila masa cek itu perlu ditunaikan.

Sewaktu negara sedang sibuk menjejaki mereka, mereka berdua membisu, tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan, malah daripada kenyataan adik salah seorang dari mereka menyatakan abangnya telah keluar dari PKR. Ini diperkuatkan kenyataan Perdana Menteri yang mengiyakan kemungkinan kedua-dua mereka menyertai UMNO/BN.

Justeru apa selepas ini? Perak kusut? Oh tidak. Speaker pada bila-bila masa boleh menarik balik perisytiharannya apatah lagi jika perisytiharan rasmi belum dikemukakan kepada pihak SPR.

Kedua, tindakan kedua-dua exco PKR ini perlu di siasat dan diselidiki dengan teliti. Apakah sebenarnya yang telah berlaku. Tidak cukup untuk menerima alasan mereka menyatakan cuti sakit. Tidak mungkin satu perkara yang “kebetulan” dua-dua yang menghadapi tekanan pertuduhan rasuah tiba-tiba kedua-dua sakit pada hari yang sama dan pulih pada masa yang sama.

Ketiga, mereka perlu dilucutkan jawatan exco kerana gagal untuk melaporkan kepada Ketua Kerajaan, di dalam konteks ini, Menteri Besar Perak, terhdap kehilangan mereka. Surat cuti sakit tidak dihantar ke Menteri Besar tetapi dikatakan diletakkan di pejabatnya. Siapa mengajarnya berbuat begitu? Perlucutan jawatan exco tidak boleh dipertikaikan kerana ia hak mutlak kepimpinan PR dan sekali lagi di dalam konteks ini MB Perak yang mempunyai bidangkuasa itu.

Keempat, mereka perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Parti Keadilan Rakyat yang telah menyebabkan kekecohan ini sehingga memaksa Speaker mengumumkan perletakan jawatan mereka kerana tidak mungkin sesuatu kawasan terbiar kosong tanpa wakil rakyat apa tah lagi mereka gagal untuk menghubungi pimpinan PKR sewaktu “kehilangan” mereka.

Kelima, mereka perlu bertindak jujur dengan memberitahu apa sebenarnya yang berlaku dan bukan mencipta helah sekadar menyatakan sakit. Apa yang nyata tindakan mereka yang berdiam diri sebelum ini benar-benar merupakan satu penyakit dan mereka perlu meminta maaf kepada rakyat sebelum mereka dihumbankan oleh rakyat sepertimana rakyat telah menghumbankan UMNO/BN sebelum ini!

Kuasa rakyat kuasa keramat!
Video akan menyusul

http://greenboc.blogspot.com

Aduhai Kerajaan PR Selangor

19 Oct

Skandal-balkis & Rantings of Selangor

Beberapa isu yang timbul sejak kebelakangan ini banyak mengujudkan suasana kurang menarik kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim.

Jika diperingkat awal penubuhan kerajaan dahulu, jelas terlihat bahawa pegawai-pegawai kerajaan yang kuat menyokong BN kecut dan bimbang akan kedudukan mereka. Pada hari ini setelah 6 bulan Selangor diprintah oleh Pakatan Rakyat pimpinan Khalid Ibrahim suasana sudah seperti biasa. Seperti macam zaman BN.

Masih terdapat ramai pegawai kerajaan yang berkhidmat di negeri ini berani mencabar terang-terangan usaha-usaha kerajaan negeri. Paling jelas adalah dalam pembahagian kontrak kerja-kerja di Jabatan Kerajaan, kaedah yang tidak telus seperti zaman BN masih di amalkan. Kontrak-kontrak dan tender masih dikuasai oleh orang yang sama.

Satu kes yang amat jelas berlaku di Kuala Selangor apabila YDP Majlis Daerah cuba menghalang penggunaan padang ketika hendak diadakan program Forum Perdana dengan memberi alasan padang akan rosak. Bukankah yang hadir itu adalah penduduk sekitar Kuala Selangor yang membayar cukai yang dikutip oleh MDKS?

Amat memalukan perkara ini datangnya dari seorang YDP yang beragama Islam.

Begitu juga dalam kes surat sokongan, telah dibuktikan terdapat pegawai di tingkat 20/21 SUK membuat surat sokongan seolah-olah mewakili kerajaan tetapi tindakan hanya dibuat terhadap Yahya Saari. Apakah Tingkat 20 mengamalkan pendakwaan terpilih??

Dalam isu pasir, kini seperti jelas kelihatan kurang minat bagi pengusaha pasir untuk tampil kehadapan. Jika diteliti dengan halus, beberapa persoalan berkaitan ketelusan isu pasir ini boleh dibangkitkan. Akhirnya nanti, tolak abuk balik asal.

Dalam kes Unisel, sehingga hari ini, ia tidak mempunyai Naib Cancelor yang hakiki. Yang ada hanyalah pemangku yang sudah diketahui akan ditamatkan khidmatnya pada Disember ini. Adalah dilaporkan Unisel mengalami enrolment yang merosot sejak Dr Razali Agus dan Dr Rustam Abbas di tamatkan kontrak.

Penamatan tanpa persediaan pengganti adalah kelemahan pentadbiran pendidikan Selangor. Seperti menebang sawit tua tetapi tidak disulam benih baru, maka rumput dan lalang yang tumbuh. Ini belum kira lagi dengan politiking yang bobrok yang sedang berlaku di universiti itu.

Bidasan keras perlu diterima oleh exco pendidikan Selangor yang tidak habis-habis mewar-warkan hub pendidikannya yang hingga kini belum terlihat sehelai blue-print.

Di Yayasan selangor, masih belum berlaku rombakan walaupun jelas terbukti pimpinan Yayasan Selangor gagal meningkatkan prestasi pendidikan anak negeri dengan bukti kemerosotan pencapaian dalam peperiksaan ditahun-tahun kebelakangan ini.

Satu perkara khusus yang perlu diberikan perhatian ialah menurunnya populariti Menteri Besar Selangor sejak kebelakangan ini. Kemungkinan berlaku kerana tidak berkesannya Setiausaha Akhbar dan bahagian media, Setiusaha politik dan lain-lain organ pentadbiran kerajaan negeri.

Agak hairan, Hari terbuka Aidilfitri MB selangor tidak mencium muka-muka akhbar tempatan samada media cetak mahupun letronik. Puas di cari, tapi tiada sedangkan TG Nik Aziz Kelantan dan Nizar Jamaludin Perak dan yang lain mendapat liputan arus perdana.

Kini terdengar pula desas desus ujudnya “fifth floor boys” di Bangunan SUK. Mengikut laporan, sebuah Kelab Penyokong Menteri Besar sudah diujudkan. Ia diketuai oleh adik Khalid sendiri Hajiman Ibrahim serta anak saudaranya Remy. Soalnya, apakah keperluan kelab ini?

Di samping itu seolah-olah aliran menentang tindak-tanduk MB Selangor dari kalangan parti semakin ketara. Terbaru ialah bantahan MP Kapar “Mike” Manickavasagam. Kini dikatakan diadakan pula satu task force politik terdiri dari Ahli Parlimen-Ahli Parlimen untuk mengukuhkan politik PKR di Selangor.
Hairan sekali Ketua-Ketua Bahagian PKR tidak dilibatkan.

“Akan berlaku peperangan besar dalam PKR Selangor jika ia diteruskan”, pendapat beberapa Ketua Bahagian.

Masih terlalu banyak isu yang sepatutnya selesai masih tidak di atasi di Selangor ini. Jika keadaan ini berterusan ia pasti akan membuka ruang untuk dimanipulasi oleh pihak pembangkang Khir Toyo dan Barisan Nasional.

Nik Aziz Yakin Tubuh Kerajaan Baru Pusat

16 Oct

KOTA BAHRU: Murysidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mengetuai Kelantan sejak 1990, masih yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat sambil menekankan bahawa pihaknya akan tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Keputusan memilih Anwar jika pembangkang berkuasa di peringkat persekutuan, kata Nik Aziz, sudah lama dipersetujui oleh pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pembangkang telah memutuskan demikian semasa pihaknya bersetuju untuk mewujudkan barisan alternatif sembilan tahun lalu.

“Cerita Anwar (dipilih sebagai Perdana Menteri) sudah lama… belum pada ini kita ada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), lepas itu Barisan Alternatif, masa kita buat (bentuk) BA, kita dah buat keputusan, Perdana Menterinya Anwar… bukan cerita baru,” kata beliau ketika ditemui di kediaman beliau di sini baru-baru ini.

Barisan alternatif dibentuk oleh pembangkang ketika menghadapi pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Selepas pilihan raya umum Mac lalu pihaknya menamakan ikatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.

Nama itu diumumkan pada 1 April lalu dengan menyasarkan 16 September bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun pada tarikh tersebut kerajaan baru tidak dibentuk, sebaliknya Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat meminta diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah Anwar juga meminta supaya diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan sokongan anggota Dewan Rakyat pada 23 September lalu.

Kedua-dua permintaan itu telah ditolak oleh Abdulllah.

Ketika ditanya tentang peluang dan kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat, Nik Aziz berkata: “Kami mesti ambil alih kecuali dia (kerajaan) kacau, diguna ISA, ditangkap, itu lainlah.”

Tambah beliau, jika demokrasi dilaksana dengan sepenuhnya, sudah lama Umno digantikan dengan kerajaan baru.

“Kami yakin, syaratnya demokrasi diberi peluang penuh, tiada gangguan ISA, tiada ditangkap, kecuali dia ditangkap macam komunis,” katanya.

Apabila ditanya mengenai perbezaan pandangan dan tidak puas hati dalam isu pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat dan diketuai Anwar jika menjadi, Nik Aziz berkata, masalah itu tidak wujud secara keseluruhan.

Cuma, jelas Nik Aziz, wujud sedikit perasaan ragu-ragu memandangkan Anwar dituduh kerana dituduh liwat sedangkan mahkamah sudah lepaskan beliau.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen, pernah berhadapan dengan kes liwat 10 tahun lalu tetapi dibebaskan dan berhadapan dengan tuduhan buat kali kedua Ogos lalu.

http://www1.mstar.com.my

Kuota 50 peratus: Jangan jadikan isu perkauman

9 Oct



Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Dewan
Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyokong penuh dasar baru Kerajaan
Negeri Kedah mewajibkan peruntukan 50 peratus lot bumiputera dalam
semua projek perumahan di negeri ini.

DPPNK mengajak Persatuan
Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Kedah/Perlis
dan semua pihak menyedari bahawa rumah adalah keperluan asas setiap
manusia. Oleh itu ia tidak harus dilihat sebagai satu dagangan
sebaliknya hak yang perlu diberi kepada setiap manusia.

Menginsafi
terdapat rakyat berkemampuan, namun lebih ramai mereka yang kurang
berkemampuan, maka sewajarnya pemaju mengutamakan projek-projek
perumahan mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakan di negeri ini dengan
mengambil kira demografi sosio-ekonomi semasa.

DPPNK melihat
selama ini hak asas manusia telah dimanipulasi dan diperdagangkan
melalui kapitalisme yang diamalkan pemaju dengan berorientasikan
keuntungan semata-mata. Pemaju perlu melihat perkara ini sebagai satu
tanggung jawab sosial kepada masyarakat. Memandangan rumah adalah
keperluan asas, keuntungan bukanlah pertimbangan utama walaupun
keuntungan itu diperlukan oleh pemaju.

DPPNK percaya para pemaju
hartanah dan perumahan di negeri ini telah lama meraih keuntungan
daripada industri ini malah kouta 30 peratus yang ditetapkan sebelum
ini telah kerap kali diketepikan melalui pelbagai teknik niaga yang
‘dimainkan’ oleh pemaju. DPPNK juga percaya dengan dasar kuota 30
peratus itu dan diskaun 5 peratus untuk setiap lot bumiputera
menyebabkan pemaju memindahkan beban kekurangan keuntungan dengan
menaikkan harga rumah bagi lot bukan bumiputera. Tindakan ini nyata
tidak wajar. Malah ada golongan yang berkemampuan mengambil kesempatan
menjadikan keperluan asas ini sebagai dagangan dan pelaburan sedangkan
masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan rumah.

Rehda dan
semua pihak perlu melihat tindakan Kerajaan Negeri sebagai
mengembalikan hak kepada setiap mereka yang berhak di mana selama ini
telah dinafikan. Dasar Kerajaan Negeri hendak memastikan setiap rakyat
negeri ini memiliki rumah sendiri wajar diberi sokongan padu.

Realitinya
juga perlu diakui bahawa dari 1.9 juta penduduk Kedah, 70 peratus
adalah bumiputera, maka amat wajar kuota sebanyak 50 peratus tersebut.
Kaum bukan bumiputera tidak harus bimbang dengan dasar baru ini kerana
mereka tidak akan hilang sebarang hak.

Pemaju mungkin melihat
soal kemampuan ekonomi bumiputera sebagai antara sebab untuk tidak
bersetuju dengan dasar baru Kerajaan Negeri di mana margin keuntungan
pemaju bakal berkurangan. Pun begitu, Rehda tidak harus menjadikan
ianya sebagai alasan untuk tidak bersama pemerintah negeri ini
merealisasikan dasar pemilikan rumah kepada setiap rakyat Kedah. Telah
terzahir bukti, apabila pemaju hanya mementingkan keuntungan melalui
projek perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki rakyat negeri ini
seperti di Sungai Petani dan Kulim, maka ia telah menjadi milik orang
luar dari negeri ini. Isu rumah tidak terjual juga tidak harus
ditimbulkan jika pemaju mengamalkan pembahagian kawasan perumahan
mengikut blok seperti mana di Taman Ria dan Taman Keladi di Sungai
Petani.

Rehda juga sebagai sebuah persatuan tidak harus
menjadikan hak asas ini sebagai ‘peluang’ melipat gandakan keuntungan
sebaliknya menghulurkan kerjasama kepada Kerajaan Negeri selaku
pemerintah negeri ini untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. Kerajaan
Negeri juga sudah tentu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk
pemaju dalam hal ini. Sebagai sebuah kerajaan untuk semua, sudah pasti
Kerajaan Negeri Kedah juga memikirkan soal keuntungan pemaju, pun
begitu industri ini bukanlah tempat membina keuntungan di luar
kewajaran yang sepatutnya.

DPPNK yakin melalui Syarikat Milik
Kerajaan Negeri (GLC), sebarang projek akan lebih terjamin dan
bertanggung jawab serta terhindar dari sebarang bentuk bebanan kepada
rakyat. Sehubungan itu, DPPNK menggesa Kerajaan Negeri melalui GLC
mengambil alih tanggungjawab tersebut dalam mengimbangi persaingan
dengan pemaju sedia ada di samping merealisasikan hasrat dan dasar
Kerajaan Negeri kepada kepentingan rakyat.

DPPNK melihat Rehda
telah mempolitikkan keadaan seolah-olah Kerajaan Negeri sedang
menganiaya kaum lain di negeri ini. Dengan ini, DPPNK memberi amaran
kepada Rehda agar jangan mempolitikkan isu ini yang sebenarnya berlegar
kepada persoalan keuntungan pemaju menjadi isu perkauman. Jangan cuba
menutup kekurangan keuntungan pemaju dengan menjadikan keharmonian kaum
di negeri ini sebagai mangsa. DPPNK menegaskan tidak wujud sama sekali
soal perkauman dalam perkara ini kerana di kalangan pemaju juga
terdapat pemaju bumiputera.

DPPNK juga dengan ini menggesa Ketua
Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid menyatakan pendirian
Umno Kedah terhadap perkara ini.

Bersamalah kita mendukung hasrat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

USTAZ MUSODDAK HAJI AHMAD
Ketua Pemuda