PAS Selangor Kenapa Pas Selangor Dirombak? Saari dan Khalid Digugurkan

25 Nov

TIBA-TIBA saja Pas Selangor membuat rombakan ‘Kabinetnya’. Tiada pula kedengaran apa-apa yang tidak beres yang berlaku dalam Pas negeri berkenaan dalam tempoh sehari dua ini. Selama ini, selepas pilihan raya umum Badan Perhubungan Pas Selangor berada dalam keadaan aman damai saja. Perpaduan dan ukhwan Pas Selangor kuat dan bersemangat.

Kalaupun ada sedikit pergolakan ialah menjelang pembentukan Kerajaan Selangor selepas pilihan raya umum lalu. Ada sedikit perselisihan pendapat, ada yang merasakan Pas lebih baik membentuk kerajaan bersama Umno atas kepentingan Melayu manakala ada yang merasakan tidak dan lebih baik Pas meneruskan pembetukan Kerajaan dengan PKR dan DAP sebagai untuk tidak melukai hati rakyat yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Apapun selepas itu, isu itu selesai. Kedua-dua pihak yang berselisih pandangan akhirnya akur kepada kehendak semasa, iaitu Pas harus membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat.

Jadi apabila Jumaat lalu, Badan Perhubungan Pas dirombak ini menyebabkan pemerhati politik sedikit terjungkit dan tercari-cari apakah sebab musababnya maka ia dirombak. Apa lagi rombakan itu melibatkan Timbalan Pesuruhjaya, Abdul Khalid Samad dan Ketua Penerangan, Saari Sungip.

Kedua mereka adalah orang penting dalam Pas Selangor. Khalid juga ahli Parlimen kawasan Shah Alam, manakala Saari Sungi ADUN kawasan Ulu Klang. Kelantangan Khalid dalam membangkitkan isu-isu rakyat di Parlimen menjadikan ahli Parlimen itu sebagai aset Pas Selangor untuk di masa depan.

Begitu juga dengan Saari Sungip. Aktivis sosial ini nampak begitu menekankan soal-soal kemanusiaan yang harus diperjuangkan oleh Pas. Walaupun beliau dilihat tidak ekstrem tetapi merupakan seorang yang kuat berpegang kepada doktrin Islam.

Sebagai anggota Dewan Harian, merekalah yang menentukan gerak nadi Pas Selangor. Segala keputusan penting termasuk berhubung peranan Pas dalam kerajaan Pakatan Rakyat turut melibatkan pemikiran mereka berdua.

Tempat Abdul Khalid itu diganti oleh Ahli Parlimen Ulu Langat, Che Rosli Che Mat. Che Rosli ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis dan bekas Yang Dipertua Pas Ulu Langat. Melihat kepada jawatan itu beliau mempunyai pengalaman untuk menjabat jawatan itu.

Manakala tempat Saari Sungip diganti oleh Roslan Shahir, yang juga Setiausaha Akhbar Presiden Pas. Roslan juga merupakan Yang Dipertua Pas Kelana Jaya dan salah seorang barisan pemimpin pelapis Pas Selangor yang rajin menumpahkan idea dan bersikap konservatif. Sebelum pilihan raya lalu, Roslan sudah menjawat jawatan itu. Jawatan itu diserahkan kepada Saari selepas Roslan dilantik menjadi setiausaha akhbar Presiden Pas kerana bimbang beliau tidak dapat memberi tumpuan kepada jawatan berkenaan.

Sudah pasti Dr Hassan ada alasan tersendiri kenapa rombakan perlu dilakukan dan melibatkan dua individu itu. Apakah peranan Saari sebagai Ketua Penerangan tidak berfugsi dengan baik maka beliau ditukar? Ataupun ada sesuatu yang sedang beralun antara beliau dengan timbalannya, Khalid menyebabkan ia perlu diganti dengan Che Musa?

Dalam sesebuah organisasi kalau ketua tidak sehaluan dengan timbalan apa lagi kalau orang nombor dua pandai bertindak sendiri dan bersikap lebih berani ia memang menimbulkan masalah. Sukar untuk seorang ketua menjaga anak buah yang cerdik dan cuba menguruskan diri sendiri tanpa mengambil kira suara majoriti dan tidak tahu menghormati parti.

Apakah situasi itu yang berlaku di sekitar Khalid Samad? Sebab jika diperhatikan kepada beberapa tindakan dan kenyataan Khalid Samad sebelum ini ia menggambarkan beliau seorang yang berbuat mengikut kepalanya saja dan seorang yang terlalu outspoken sehinggakan adakalanya sikap itu menimbulkan masalah kepada parti. Dia juga seorang yang vokal dalam memperkatakan sesuatu yang tidak semakan dengan kepalanya.

Khabarnya pertukaran jawatan dan rombakan itu diterima sebulat suara oleh kesemua anngota badan perhubungan Pas Selangor. Tidak ada apa-apa bantahan. Walaupun itu adalah hak prerogatif Pesuruhjaya, namun Hassan katanya membincangkan soal rombakan itu dalam mesyuarat terbuka bagi mendapat pandangan semua ahli Badan Perhubungan. Kedua-dua mereka yang terlibat dengan pertukaran itu juga turut hadir dan menerima dengan baik keputusan itu.

Seperti mana dilaporkan media massa, alasan rombakan untuk memantapkan lagi Pas Selangor dan bagi memastikan segala polisi dan dasar Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan dan diputuskan parti berjalan dengan lancar.

Ada desas-desus mengatakan rombakan itu sebagai pembersihan mereka yang menyokong Anwar Ibrahim? Apakah tanggapan itu benar? Memang mereka ini dilihat rapat dan banyak memberi masa kepada Anwar Ibrahim. Saya sendiri kerap melihat kehadiran Khalid Samad ke rumah Anwar bersama beberapa pemimpin Pas lain yang dilihat ‘bau-bau bachang’ dengan Anwar.

Tetapi saya fikir pemecatan itu bukan kerana sebab itu. Keakraban dan keyakinan Khalid kepada ketokohan Anwar untuk jadi PM saya rasa bukan alasan kenapa beliau harus ditiadakan dalam badan perhubungan Pas Selangor. Pemergian Khalid ke rumah Anwar dan keakrabannya dengan Anwar tidak wajar dijadikan hujah. Kalau Khalid mendatangi Anwar sebagai kunjungi orang mengkagumi Anwar apalah salahnya?

Begitu juga kalau pemergian atau keakraban Khalid dan pemimpin lain dengan Anwar dalam rangka untuk menjayakan projek 16 September tidak wajar kalau mereka dihalang apa lagi ianya diambil tindakan. Bukankah pemergian dan penglibatan mereka itu untuk memastikan kerajaan BN tumbang dan bukankah itu juga cita-cita Pas selama ini?

Cuma apa yang salahnya kalau penglibatan secara eksklusif itu tanpa premisi daripada parti ia adalah salah. Kerana setiap yang berjemaah itu harus akur dan taat kepada jemaah! Harus berwalad kepada ketua dalam jemaah bukan ketua di luar jemaah.

Apapun yang pasti rombakan itu ada sebab-sebab lebih rahsia dan munasabah. Kalau tidak masakan Pas Selangor rela mengorbankan mereka. Jika dilihat rombakan itu berlaku selepas Pas mengadakan retreat di Langkawi 7 dan 9 November lalu mungkin tindakan merombak badan perhubungan itu terilham di Langkawi.

Mungkin ada sesuatu berlaku di Langkawi kalau tidak masakan rombakan itu dibuat selepas kepulangan dari pulau sumpahan itu. Bagaimana pun sukar untuk dikatakan apa yang berlaku di pulau lagenda itu. Tetapi yang jelasnya selepas pulang dari Langkawi membuatkan hati Hassan Ali terbuka untuk merombak badan perhubungan Pas. Mungkinkah ada seseorang yang hadir pada retreat itu telah menimbulkan masalah! [wm.kl. 6:45 pm 24/11/08]

Untuk memberikan komen / responshttp://msomelayu.blogspot.com/2008/11/pas-selangor.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: