Kuota 50 peratus: Jangan jadikan isu perkauman

9 Oct



Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Dewan
Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) menyokong penuh dasar baru Kerajaan
Negeri Kedah mewajibkan peruntukan 50 peratus lot bumiputera dalam
semua projek perumahan di negeri ini.

DPPNK mengajak Persatuan
Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Cawangan Kedah/Perlis
dan semua pihak menyedari bahawa rumah adalah keperluan asas setiap
manusia. Oleh itu ia tidak harus dilihat sebagai satu dagangan
sebaliknya hak yang perlu diberi kepada setiap manusia.

Menginsafi
terdapat rakyat berkemampuan, namun lebih ramai mereka yang kurang
berkemampuan, maka sewajarnya pemaju mengutamakan projek-projek
perumahan mampu dimiliki oleh rakyat kebanyakan di negeri ini dengan
mengambil kira demografi sosio-ekonomi semasa.

DPPNK melihat
selama ini hak asas manusia telah dimanipulasi dan diperdagangkan
melalui kapitalisme yang diamalkan pemaju dengan berorientasikan
keuntungan semata-mata. Pemaju perlu melihat perkara ini sebagai satu
tanggung jawab sosial kepada masyarakat. Memandangan rumah adalah
keperluan asas, keuntungan bukanlah pertimbangan utama walaupun
keuntungan itu diperlukan oleh pemaju.

DPPNK percaya para pemaju
hartanah dan perumahan di negeri ini telah lama meraih keuntungan
daripada industri ini malah kouta 30 peratus yang ditetapkan sebelum
ini telah kerap kali diketepikan melalui pelbagai teknik niaga yang
‘dimainkan’ oleh pemaju. DPPNK juga percaya dengan dasar kuota 30
peratus itu dan diskaun 5 peratus untuk setiap lot bumiputera
menyebabkan pemaju memindahkan beban kekurangan keuntungan dengan
menaikkan harga rumah bagi lot bukan bumiputera. Tindakan ini nyata
tidak wajar. Malah ada golongan yang berkemampuan mengambil kesempatan
menjadikan keperluan asas ini sebagai dagangan dan pelaburan sedangkan
masih ramai rakyat di negeri ini memerlukan rumah.

Rehda dan
semua pihak perlu melihat tindakan Kerajaan Negeri sebagai
mengembalikan hak kepada setiap mereka yang berhak di mana selama ini
telah dinafikan. Dasar Kerajaan Negeri hendak memastikan setiap rakyat
negeri ini memiliki rumah sendiri wajar diberi sokongan padu.

Realitinya
juga perlu diakui bahawa dari 1.9 juta penduduk Kedah, 70 peratus
adalah bumiputera, maka amat wajar kuota sebanyak 50 peratus tersebut.
Kaum bukan bumiputera tidak harus bimbang dengan dasar baru ini kerana
mereka tidak akan hilang sebarang hak.

Pemaju mungkin melihat
soal kemampuan ekonomi bumiputera sebagai antara sebab untuk tidak
bersetuju dengan dasar baru Kerajaan Negeri di mana margin keuntungan
pemaju bakal berkurangan. Pun begitu, Rehda tidak harus menjadikan
ianya sebagai alasan untuk tidak bersama pemerintah negeri ini
merealisasikan dasar pemilikan rumah kepada setiap rakyat Kedah. Telah
terzahir bukti, apabila pemaju hanya mementingkan keuntungan melalui
projek perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki rakyat negeri ini
seperti di Sungai Petani dan Kulim, maka ia telah menjadi milik orang
luar dari negeri ini. Isu rumah tidak terjual juga tidak harus
ditimbulkan jika pemaju mengamalkan pembahagian kawasan perumahan
mengikut blok seperti mana di Taman Ria dan Taman Keladi di Sungai
Petani.

Rehda juga sebagai sebuah persatuan tidak harus
menjadikan hak asas ini sebagai ‘peluang’ melipat gandakan keuntungan
sebaliknya menghulurkan kerjasama kepada Kerajaan Negeri selaku
pemerintah negeri ini untuk mereka berkhidmat kepada rakyat. Kerajaan
Negeri juga sudah tentu mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk
pemaju dalam hal ini. Sebagai sebuah kerajaan untuk semua, sudah pasti
Kerajaan Negeri Kedah juga memikirkan soal keuntungan pemaju, pun
begitu industri ini bukanlah tempat membina keuntungan di luar
kewajaran yang sepatutnya.

DPPNK yakin melalui Syarikat Milik
Kerajaan Negeri (GLC), sebarang projek akan lebih terjamin dan
bertanggung jawab serta terhindar dari sebarang bentuk bebanan kepada
rakyat. Sehubungan itu, DPPNK menggesa Kerajaan Negeri melalui GLC
mengambil alih tanggungjawab tersebut dalam mengimbangi persaingan
dengan pemaju sedia ada di samping merealisasikan hasrat dan dasar
Kerajaan Negeri kepada kepentingan rakyat.

DPPNK melihat Rehda
telah mempolitikkan keadaan seolah-olah Kerajaan Negeri sedang
menganiaya kaum lain di negeri ini. Dengan ini, DPPNK memberi amaran
kepada Rehda agar jangan mempolitikkan isu ini yang sebenarnya berlegar
kepada persoalan keuntungan pemaju menjadi isu perkauman. Jangan cuba
menutup kekurangan keuntungan pemaju dengan menjadikan keharmonian kaum
di negeri ini sebagai mangsa. DPPNK menegaskan tidak wujud sama sekali
soal perkauman dalam perkara ini kerana di kalangan pemaju juga
terdapat pemaju bumiputera.

DPPNK juga dengan ini menggesa Ketua
Perhubungan Umno Kedah, Dato’ Seri Mahdzir Khalid menyatakan pendirian
Umno Kedah terhadap perkara ini.

Bersamalah kita mendukung hasrat Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

USTAZ MUSODDAK HAJI AHMAD
Ketua Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: