Kenyataan S/U PKR Perak mengenai isu sedekah sex

5 Oct
SIDANG AKHBAR * 26 SEPTEMBER 2008

ISU ADUAN YANG DIBUAT OLEH DUA ORANG AHLI KEADILAN

KEPADA JABATAN AGAMA ISLAM PERAK

Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak telah mengadakan sidang akhbar pada pukul 10 pagi, 26hb September 2008 berkenaan dengan isu berkenaan aduan dua orang ahli keADILan Perak iaitu Zul bin Hassan dan Fairul Azrim bin Ismail (selepas ini kedua-duanya disebut “Pengadu”) kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Sidang akhbar tersebut dikendalikan oleh Ustaz Zulkifly Ibrahim, iaitu Pemangku Pengerusi Perhubungan keADILan Perak dan Encik Mohamad Asri bin Othman, iaitu peguam yang mengendalikan kes kedua-dua orang yang disebut di atas. Encik Zul bin Hassan turut hadir di dalam sidang akhbar tersebut bersama-sama dengan beberapa orang pimpinan keADILan Negeri Perak.

Berikut adalah beberapa perkara penjelasan penting yang disentuh dalam sidang akhbar tersebut:

  1. Tujuan aduan dibuat kepada JAIP

Pada 23 September 2008, kedua-dua Pengadu telah membuat laporan kepada penguatkuasa JAIP berdasarkan peruntukan di dalam Seksyen 29 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992, berkenaan dengan satu jenayah syariah yang dipanggil  “Menggalakkan Maksiat”. Seksyen 29 Enakmen tersebut berbunyi: “Seseorang yang menganjur, memujuk atau menggalakkan mana-mana orang melakukan apa-apa pekerjaan maksiat adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam aduan kepada JAIP, Pengadu mendakwa bahawa seorang yang bernama Mohamad Imran bin Abdullah telah menganjur, memujuk dan menggalakkan mereka melakukan maksiat dengan membawakan untuk mereka wanita-wanita yang dipercayai warganegara asing untuk tujuan maksiat. Oleh itu, pihak JAIP diminta supaya melakukan siasatan segera menurut Seksyen 29 yang disebut di atas.

  1. Bidangkuasa JAIP

Perbuatan menganjur, memujuk dan menggalakkan maksiat itu bermula dengan pertemuan Pengadu dengan Mohamad Imran bersama-sama dengan wanita-wanita yang disebut di atas di Kuala Kangsar, Perak dalam perjalanan mereka menuju ke Pulau Pinang pada 14 Ogos 2008. Oleh kerana kejadian jenayah tersebut berlaku di dalam negeri Perak, maka pihak JAIP mempunyai bidangkuasa untuk melakukan siasatan dan pendakwaan ke atas Mohamad Imran.

Kejadian zina sepertimana yang diakui oleh Pengadu berlaku di dalam Negeri Pulau Pinang. Ia adalah satu jenayah syariah yang berasingan dan tertakluk di bawah bidangkuasa penguatkuasa agama Negeri Pulau Pinang.

  1. Kenapa buat aduan sedangkan Pengadu telah menerima tawaran bagi khidmat seks percuma tersebut?

Tidak dinafikan bahawa Pengadu pada masa kejadian tersebut telah menerima tawaran bagi khidmat seks percuma tersebut akibat pujukan dari Mohamad Imran. Walau bagaimanapun, Pengadu kini merasa kesal dan insaf atas keterlanjuran mereka dan mahu supaya pihak yang menjadi penganjur dan punca ke atas keterlanjuran mereka dihukum sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 29 Enakmen yang disebut di atas. Sebagai contoh, adakah salah bagi seorang yang telah mendapatkan dadah dari seorang pengedar dadah, setelah dia insaf atas kesalahannya, membuat aduan kepada polis agar pengedar dadah tersebut ditangkap. Seorang penganjur maksiat, sebagaimana seorang pengedar dadah, adalah amat merbahaya kepada rakyat dan negara.

  1. Isu perkataan “sedekah”

Perkataan “sedekah” yang telah disebut oleh Encik Zul Hassan pada 23 September 2008 telah diperbesar-perbesarkan dan dimanipulasi oleh media yang dikuasai oleh UMNO. Apa yang dimaksudkan oleh Encik Zul Hassan ialah “pemberian” tetapi apabila istilah “sedekah” telah disebut secara tanpa disedari, media telah memanipulasi kesilapan penggunaan istilah tersebut dari sudut keagamaan. Tujuan mereka adalah untuk mengalihkan pandangan daripada isu sebenar iaitu penggunaan seks dan maksiat untuk satu komplot yang bermotif politik.

  1. Eksploitasi wanita dan penglibatan warga asing dalam pemerangkapan yang bermotif politik

Jenayah “menggalakkan maksiat” yang dilakukan oleh Mohamad Imran dan pihak-pihak yang bersekongkol dengannya adalah bermotif politik. Adalah amat mendukacitakan kerana pihak yang merancang projek pemerangkapan ini telah mengeksploitasi wanita-wanita dan warganegara-warganegara asing bagi mencapai tujuan mereka. Wujudnya rakaman video sebagaimana yang diberitahu oleh pegawai soalsiasat BPR kepada Encik Zul Hassan mengesahkan lagi bahawa projek pemerangkapan ini telah dirancang dengan rapi oleh pihak-pihak tertentu. Sekiranya perbuatan seperti yang dilakukan oleh Mohamad Imran dan pihak-pihak yang bersekongkol dengannya dibiarkan, kita bimbang akan ada lebih banyak lagi kes di mana seks digunakan sebagai satu alat yang ampuh untuk memerangkap musuh politik.

  1. Pendirian keADILan Perak mengenai pengakuan zina oleh Pengadu

KeADILan tidak akan mempertahankan mana-mana ahlinya yang telah terlibat dalam apa-apa salahlaku moral atau jenayah syarak. Integriti dan moral ahli-ahli parti adalah sentiasa diambil perhatian. Walau bagaimanapun, apa-apa tindakan disiplin ke atas Pengadu akan diambil setelah pihak pimpinan parti membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Dalam masa yang sama, keADILan Perak mendesak agar pihak berkuasa berlaku adil dengan menyiasat pihak yang telah menjadi punca kepada perlakuan maksiat tersebut berdasarkan Seksyen 29 yang disebut di atas.

MADZI HASAN

Setiausaha Perhubungan

keADILan Negeri Perak

E-mail: madzihasan@hotmail.com

HP: 019-2327473

Tarikh: 26-9-2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: