ADUAN RASUAH YANG DIPANDANG SEPI

10 Sep

Post from drhalimahali on July 12, 2008

http://drhalimahali.wordpress.com/2008/07/12/

AHMAD LUTFI B. OTHMAN
24, Jalan 4/21D,
Medan Idaman, Gombak,
53100 Kuala Lumpur.
Tel/fax: 03-40243531
019-3722079
Emel: lutfi_detik@hotmail.com
Tarikh: 23 Oktober 2001
6 Syaaban 1422

Yang berbahagia
Ketua Pengarah
Badan Pencegah Rasuah
Ibu Pejabat BPR Malaysia
Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000
62502 Putrajaya

ADUAN RASUAH MEMBABITKAN MENTERI BESAR SELANGOR

Saya mensyakki, berdasarkan beberapa maklumat yang dihantar kepada saya, dan juga carian saya secara lebih lanjut lagi, juga berasaskan maklumat berkenaan, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo perlu disiasat kerana dibimbangi beliau telah menyalahgunakan kuasa semasa diberi amanah untuk mentadbir kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan.

Kebimbangan saya itu berdasarkan beberapa perkara seperti berikut:

A. PROJEK CADANGAN PEMBINAAN JALAN CROSS BAN 4, SUNGAI PANJANG (B44)

Lokasi: Dari Taliair 4, Sekinchan hingga Parit 4, Sg Hj Dorani (Sebelah Ban JPS sediada)
Panjang: 20.5 kilometer
Kos Kontrak: RM92.5 juta
Tempoh Siap: 36 Bulan
Kontraktor: Meram Holding Sdn Bhd
A-205, No. 11, Jalan Sepadu,
United Garden, 58200 Kuala Lumpur.
Jurukur/Rekabentuk: Jalal Johari Consultants,
9127C, Lorong Perak,
Taman Melewati, 53100 Kuala Lumpur.

ISU PERTAMA:

Mengapa Menteri Besar Selangor, melalui Jabatan Kerja Raya Selangor, menganugerahkan projek ini kepada Meram Holding, sebuah kontraktor bermasalah, yang mana tiga projek terakhirnya tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan, dan akhirnya terpaksa projek-projek itu diletakkan di bawah kontraktor penyelamat? Untuk perhatian, surat setujuterima tender ditandatangani oleh Menteri Besar sendiri.

Berikut adalah butiran terperinci projek-projek yang gagal disiapkan oleh Meram Holding:

Projek Pertama:
Kos Kontrak: RM6,432,233.80
Tarikh Kontrak: 8/12/99 – 27/02/01
Lanjutan Masa 1: 28/02/01 – 19/07/01
Lanjutan Masa 2: 19/07/01 – 30-08/01
LAD dari 31/8/01 sebanyak RM1,595.00/hari
Status Terkini: Projek dijangka siap sebulan lagi

Projek Kedua: Cadangan membina dan menyiapkan Klinik Kesihatan 3, di Air Kuning, Gemas, Negeri Sembilan
Kos Kontrak: RM7,455,190.85
Tarikh Kontrak: 22/07/99 – 11/10/00
Lanjutan Masa 1: 12/10/00 – 16/01/01
Lanjutan Masa 2: 16/01/01 – 31/07/01
Status Terkini: Telah siap dan diserahkan kepada JKR

Kedua-dua projek di atas terpaksa diletakkan di bawah sebuah kontraktor penyelamat, Kayangan Emas, bagi menyiapkan kerja

Projek Ketiga: Sekolah Menengah Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Kelang, Selangor.
Notis tamat kerja diberi pada 22/6/01
Ketika itu, projek hanya siap 43% sedangkan sepatutnya sudah siap 100%

Mengapa Menteri Besar, yang tentunya dibekalkan dengan maklumat terkini dengan situasi semasa Meram Holding, boleh memilih kontraktor itu untuk mengendalikan sebuah projek bernilai tinggi, iaitu hampir RM100 juta? Harus ingat, ini adalah projek rundingan terus, bukannya tender terbuka. Dan berdasarkan temubual dengan beberapa sub-kontraktor yang pernah berurusan dengan Meram, syarikat tersebut sememangnya bermasalah besar dari segi kewangan.

Difahamkan surat setujuterima tender dikeluarkan pada bulan Mei 2001, dan di waktu itu sememangnya Meram sudahpun mencatatkan rekod kerja yang negatif. Berdasarkan papan tanda projek, tarikh mula Meram sepatutnya menjalankan kerja ialah 28 Mei 2001 dan tarikh siap ialah 27 Mei 2004. Perhatikan bahawa projek klinik sepatutnya disiapkan Meram pada 27 Februari 2001 dan satu lagi pada 11 Oktober 2000.

ISU KEDUA:

Mengapa nilai projek ini begitu tinggi sekali, yakni lebih kurang RM4.5 juta untuk hanya satu kilometer? Dan perlukah projek jalan raya merentasi kawasan sawah ini dibuat walaupun membabitkan kos yang cukup tinggi? Perlu juga disiasat apakah pembinaan ini didahului oleh kajian trafik mengenai perlu atau tidak, dibelanjakan wang rakyat yang begitu besar sedangkan manfaatnya kepada pengguna tidaklah sebanyak mana. Lagipun, mengapa tidak hanya dinaiktarafkan jalan PLB yang sedia ada, bersebelahan dengan sungai, yakni bukannya dibina sebuah jalan yang baru, yang terpaksa merentasi sawah.

BPR perlu mendapat taksiran sebenar JKR tentang kos projek ini kerana saya difahamkan bahawa anggaran JKR tidakpun sampai separuh daripada kos yang diperuntukkan, apatah lagi jika bukannya jalan baru dibina tetapi hanya dengan menaiktarafkan jalan PLB sedia ada.

Sehubungan itu, perlu juga disiasat taksiran oleh JKR terhadap pakej kedua jalan B44, iaitu projek membina dan menyiapkan jalan dari Sekinchan ke Ulu Bernam, yang lokasinya dari Parit 4 Sg Hj Dorani melalui gambut Parit 5- Parit 13 hingga Kg Sungai Panjang. Nilai kontrak ini, juga melalui rundingan terus, ialah RM32.5 juta, sepanjang 9.3 kilometer.

Projek ini yang bersambung dengan projek pertama yang dianugerahkan kepada Meram Holding, juga bernilai tinggi, iaitu RM3.495 juta untuk satu kilometer. Kontraktornya ialah Radzah Engineering Sdn Bhd, 97A-2, Jalan Raja Muda Abd Aziz, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur. Mohon disiasat taksiran JKR terhadap projek kedua ini.

Hasil siasatan saya menunjukkan Meram Holding sebenarnya langsung tidak menjalankan kerja, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada Cabaran Wangsa Sdn Bhd. Saya mohon disiasat latarbelakang dua pengarah Cabaran Wangsa, iaitu Ahmad Termizi Tajjeury dan Pua Kim An, kerana disyakki pemilihan Cabaran Wangsa sebagai sub-kontraktor juga berunsurkan rasuah. Banyak khabar angin yang disebarkan mengenai hal ini.

B. BAGAIMANA MESYUARAT EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR YANG DIPENGERUSIKAN MB SELANGOR BOLEH MELULUSKAN PERMOHONAN TANAH DI BUKIT CHERAKAH, SHAH ALAM KEPADA EMPAT SYARIKAT BERBEZA TAPI MEMPUNYAI SEORANG PENGARAH YANG SAMA?

Tarikh mesyuarat Exco: 20 Disember 2000
Lokasi tanah: Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling, Selangor
Empat dari enam pemohon yang berjaya:
1. Layar Kekal (M) Sdn Bhd,
2. Tirai Gemilang Sdn Bhd,
3. Usahasewa Sdn Bhd,
4. Samasys Sdn Bhd
Keluasan: Setiap syarikat mendapat 100 ekar tanah
Hasil carian kami menunjukkan pengarah-pengarah bagi syarikat berkenaan:
1. Layar Kekal: Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari, Samsuri Rahmat
2. Tirai Gemilang: Samsuri Rahmat, Amran Abu Bakar
3. Samasys: Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari, Samsuri Rahmat
4. Usahasewa: Samsuri Rahmat, Amran Abu Bakar

Perhatikan bahawa SAMSURI RAHMAT menjadi pengarah kepada semua empat syarikat berkenaan, sementara Bahari Mohd Atan, Rahmat Jamhari dan Amran Abu Bakar menjadi pengarah kepada dua syarikat.

Keempat-empat syarikat itu mempunyai alamat daftar dan alamat perniagaan yang sama: No 8, Tingkat 1, Jalan PS ½, Bandar Pinggiran Subang, Seksyen 1, Shah Alam, 40150 Selangor.

ISU:

Tanah di Selangor, khususnya di kawasan berdekatan Shah Alam mempunyai nilai yang cukup tinggi. Dikatakan, jika seseorang itu mendapat 10 ekar tanah di kawasan berkenaan, dan kemudian dibangunkan, keuntungan yang diperolehi pemiliknya boleh mencecah RM1 juta bagi seekar. Dan jika dijual terus, tanpa dibangunkan, seseorang boleh mendapat keuntungan hampir RM200,000 bagi satu ekar.

Walaupun keuntungan dari memperolehi tanah di Selangor cukup lumayan, namun prosedur meluluskan permohonan tanah itu sepenuhnya ditentukan oleh Menteri Besarnya. Seseorang itu tidak memerlukan apa-apa kriteria pun sebelum permohonannya diluluskan oleh Menteri Besar. Jadi, segala-galanya terpulang kepada Menteri Besar untuk meluluskan tanah kepada sesiapa saja yang dikehendakinya. Prosedur ini sepatutnya dimansuhkan terus kerana ia menyebabkan seseorang MB terlalu mudah untuk terjebak mengamalkan rasuah.

Alangkah baiknya jika proses permohonan tanah dilakukan secara terbuka, agar tawaran harga tertinggi dan beberapa faktor lain dapat diambil kira oleh mesyuarat Exco (Menteri Besar). Dengan itu kerajaan negeri dapat menambahkan pendapatannya.

Dalam waktu ramai rakyat Selangor kelaparan tanah, tiba-tiba dengan begitu mudah Menteri Besarnya meluluskan tanah, dalam keluasan yang cukup besar, kepada beberapa kerat pemohon, misalnya dalam kes ini, Samsuri Rahmat dan rakan-rakannya. Soalnya, atas kriteria apa Samsuri dipilih mendapat 400 ekar tanah bersama tiga rakannya, sehingga beliau nampaknya begitu istimewa sekali mendapat durian runtuh yang cukup lumayan itu?

Saya syak, Samsuri adalah penama bagi pihak lain yang berkepentingan, dan dikhuatiri Menteri Besar atau mereka yang rapat dengan MB terbabit dalam rasuah. Saya mohon agar BPR menjalankan siasatan rapi bagaimana tanah yang begitu luas, di kawasan yang cukup strategik, boleh diluluskan kepada pemohon yang dinyatakan di atas. BPR juga perlu mengetahui bagaimana banyaknya syarikat lain yang juga memohon tanah yang sama.

C. BAGAIMANA EMPAT PEMOHON BERUMUR AWAL 20-AN BERJAYA MENDAPATKAN TANAH 50 EKAR SETIAP SATU?

Tarikh mesyuarat Exco: 4 Julai 2001
Lokasi tanah: Mukim Tanjung Dua Belas, Daerah Kuala Langat, Selangor Antara syarikat yang berjaya:
1. Kualiti Anggun Sdn Bhd (Pengarah: Sa’imah bt Husaini, Ahmad Azmir Yusoff)
2. Awal Sentosa Sdn Bhd (Pengarah: Saharrudin Sulaiman, Noor Ashikin bt Mohd)
3. Semaian Bintang Sdn Bhd (Pengarah: Rafie’e Kamal, Mardhiah bt Mohamad)
4. Nadi Jitu Sdn Bhd (Pengarah: Rohayati Kassim, Azril Yusri Md Yusup)
Keluasan tanah: Lebih kurang 50 ekar setiap syarikat

ISU PERTAMA:

Hasil carian di Pendaftar Syarikat menunjukkan empat orang pengarah, seorang bagi setiap syarikat, berusia begitu muda, pada tarikh permohonan mereka diluluskan:
1. Tarikh lahir Ahmad Azmir Mohamed Yusoff: 22 April 1981 (20 tahun)
2. Tarikh lahir Noor Ashikin bt Mohamad: 20 Disember 1978 (22 tahun)
3. Tarikh lahir Mardhiah bt Mohammad: 13 Mac 1981 (20 tahun)
4. Tarikh lahir Azril Yusri Md Yusup: 19 Disember 1980 (20 tahun)

Untuk mencari tanah yang kosong, kemudiannya membuat permohonan melalui proses yang ditentukan, bukanlah satu kerja yang mudah. Sukar diterima akal bagaimana pemohon dalam usia itu boleh melakukannya, dan lebih sukar untuk diterima akal, bagaimana seorang Menteri Besar boleh meluluskan permohonan daripada mereka yang berusia sebegitu muda, yang jika mereka masih belajar, belum pun tamat dari pengajian di universiti.

Cuba bandingkan, untuk memohon rumah kos rendah sekalipun memerlukan pelbagai syarat ketat. Di samping mempunyai pendapatan di bawah paras tertentu, seseorang itu perlu berkahwin dan mempunyai anak. Ini supaya hanya yang berhak saja mendapatnya. Namun yang peliknya, bagaimana untuk permohonan tanah, yang sememangnya mempunyai nilai jutaan ringgit begitu mudah diluluskan kepada anak-anak muda ini. Dari satu segi, mampukah mereka ini membayar premium tanah yang ditentukan, apatah lagi untuk menukar status tanah nanti?

Selain itu, ada beberapa fakta menarik untuk dikaji:
Ahmad Azmir Mohd Yusoff, Noor Ashikin Mohammad dan Mardhiah Mohamad dilantik sebagai pengarah pada hari yang sama, iaitu 28 Mei 2001, dan tidak sampai pun 50 hari selepas itu, iaitu pada 4 Julai 2001, mereka bertiga mendapat tanah seluas 50 ekar di Kuala Langat.

Manakala Azril Yusri Yusup dilantik pengarah pada 15 Feb 2001. Dan keempat-empat syarikat mereka, iaitu Nadi Jitu, Kualiti Anggun, Semaian Bintang dan Awal Sentosa mempunyai alamat daftar yang sama, di No 20-M, Lorong Gopeng, Klang, Selangor. Apakah ini menunjukkan ada orang tertentu yang dekat dengan MB yang mendalangi semua syarikat-syarikat berkenaan?

ISU KEDUA:

Sudahlah pemohon yang berjaya ini muda-muda belaka, carian saya menunjukkan sebahagian mereka mendiami rumah yang keadaan fizikalnya mendatangkan syak bahawa mereka sebenarnya hanya menjadi penama untuk orang tertentu dan bukannya pemilik sebenar, malah mungkin ada yang langsung tidak tahu menahu tentangnya. BPR boleh menemuduga mereka untuk mendapat penjelasan lanjut:

1. Alamat Noor Ashikin Mohamad ialah Lot 486-M1, Jalan Kerdas 2, Kg Kerdas, Gombak, 53300 Kuala Lumpur. (rumah kampung terpencil)
2. Alamat Mardhiah bt Mohamad ialah 54-09-03, Blok 54, Jalan Ikan Ayu, Bt 3 ½, Jalan Cheras, 56100 Kuala Lumpur. (menyewa flat Dewan Bandaraya)

Bagi pemohon bernama Azril Yusri Md Yusup, alamatnya di No 10, Jalan Padang Tembak, 43000 Kajang. Siasatan saya menunjukkan rumah ini adalah rumah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang dan Azril Yusri dikatakan anak kepada seorang Pegawai Daerah di negeri Selangor. Ada pihak mendakwa, tanah diberikan kepada anak DO ini bagi melicinkan lagi urusan permohonan tanah di Kuala Langat itu.

Saya juga dimaklumkan tentang keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Selangor pada 20 November 2000, yang meluluskan tanah sebanyak 750 ekar di Shah Alam, yang mana 50 ekar daripadanya diluluskan kepada Tuluskasa Corporation (M) Sdn Bhd. Yang menariknya, seorang dari pengarah syarikat ini, Rokmaa bt Haji Mat (27 tahun, beralamat 12-2A, Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya, 55100 Kuala Lumpur – rumah kedai), ketika ditanya melalui telefon menegaskan bahawa dia tidak tahu menahu tentang tanah berkenaan.

Saya bimbang, seperti juga kes-kes membabitkan pemohon yang muda tadi, mereka sebenarnya mungkin langsung tidak tahu bahawa mereka telah mendapat tanah, dengan keluasan tertentu, dan bernilai tinggi. Amalan menggunakan nama orang lain oleh pihak yang rapat dengan MB untuk memohon tanah sememangnya lumrah, bagi mengelak dari dijejaki BPR atau pihak berkuasa. BPR perlu mengambil berat isu-isu seumpama ini.

Seperti yang saya cadangkan di atas, latar belakang pengarah Cabaran Wangsa, Ahmad Termizi Tajjeury juga harus disiasat kerana dibimbangi beliau juga hanya menjadi penama bagi pihak lain. Saya telah meninjau keadaan rumahnya di No 10, Jalan Sri Cheras 10, Taman Sri Cheras, Bt 9 Cheras. Ia hanya sebnuah rumah lama teres setingkat.

Sedangkan carian saya menunjukkan bahawa Ahmad Termizi ini juga berjaya mendapat tanah seluas 50 ekar di Shah Alam (pada 20 November 2000) melalui Tuluskasa Corp dan 50 ekar lagi di Kuala Langat. (pada 4 Julai 2001), selain menjadi pengarah utama sub-kontraktor yang menjalankan projek bernilai RM92.5 juta di Sekinchan.

D. BAGAIMANA PEMOHON YANG SAMA BOLEH BERJAYA MENDAPAT TANAH LEBIH DARI SEKALI?

Maklumat yang dibekalkan kepada saya, hanya berdasarkan kepada tiga kali mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor. Itu pun secara rawak. Dibimbangi kes-kes yang sama juga mungkin berlaku dalam keputusan Menteri Besar terhadap permohonan tanah, dalam mesyuarat Exco yang lain. Bayangkan, Dr Khir Toyo sudahpun hampir 14 bulan menjadi Menteri Besar, jadi entah berapa banyak tanah yang telahpun diluluskannya, dan siapa pula yang berjaya?

Cuba perhatikan maklumat berikut:
Mesyuarat Exco pada 20 November 2000
1. Lulus 50 ekar tanah kepada Fadhilat Permai Sdn Bhd di Shah Alam. Pengarah: Ali Nordin, Suzaliwani bt Mustapin
2. Lulus 50 ekar tanah kepada Teroka Bakti Sdn Bhd di Shah Alam Pengarah: A. Rahman Mokhtar, Azizan Mohamad
3. Lulus 50 ekar tanah kepada Tuluskasa Corp Sdn Bhd di Shah Alam Pengarah: Ahmad Termizi Tajjeury, Rokmaa Hj Mat

Mesyuarat Exco pada 4 Julai 2001
1. Lulus 50 ekar tanah kepada Global Bakti Sdn Bhd di Kuala Langat Pengarah: Suzaliwani Mustapin, A Rahman Mokhtar
2. Lulus 50 ekar tanah kepada Chekal Sejajar di Kuala Langat Pengarah: Ahmad Termizi Tajjeury, Ali Nordin

Perhatikan beberapa nama berulang dua kali, seperti Ahmad Termizi Tajjeury, A Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustapin, Ali Nordin.

Kelulusan tanah lebih merupakan satu anugerah kerajaan negeri kepada seseorang. Ia tentunya merujuk kepada jasa pemohon kepada kerajaan atau kemampuan seseorang untuk membangunkan tanah itu. Berdasarkan bayaran premium yang rendah dan keuntungan lumayan yang menunggu, maka boleh dirumuskan bahawa kelulusan sesuatu bidang tanah lebih ditentukan oleh hubungan seseorang itu dengan Menteri Besar atau pihak lain yang rapat dengan MB.

E. ISU-ISU LAIN YANG HEBOH DIPERKATAKAN TENTANG MENTERI BESAR SELANGOR

1. Membayar baki pinjaman perumahannya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang, dalam masa lebih kurang 15 hari, daripada pertengahan Mac 2001 hingga akhir Mac 2001. Perhatikan jumlah wang tunai yang dibayar dengan gaji Menteri Besar yang mula memegang jawatan itu pada pertengahan Ogos 2000.

2. Memberikan pinjaman peribadi sebanyak RM6 juta kepada Sultan Selangor tanpa melalui prosedur yang ditentukan, dan bayaran dibuat dalam masa 24 jam, manakala bayaran pemati stem pun dibayar kerajaan negeri.

3. Menswastakan kutipan sewa rumah bagi pihak kerajaan negeri kepada sebuah syarikat, Noble Nexus, yang ada kaitan dengan seorang pemimpin Umno Tanjong Karang. Menerusi penswastaan ini, semua urusan masih dikendalikan kerajaan negeri, syarikat hanya berperanan menghantar surat peringatan atau memulakan tindakan undang-undang kepada penyewa yang engkar. Upahnya, syarikat mendapat 30% daripada kutipan, dan sewa tertunggak hingga kini lebihkurang RM380 juta. BPR boleh menemui pegawai yang menentang cadangan penswastaan ini, yang khabarnya telahpun dipindahkan dari Shah Alam. Syarikat ini juga membekalkan semua peralatan yang diperlukan Jabatan Bekalan Air Selangor.

4. Projek pembinaan Universiti Selangor yang diusahakan oleh Talam Corp juga hangat diperkatakan. Talam dikatakan membina Unisel untuk Kerajaan Selangor dengan belanja RM600 juta. Kerajaan negeri tidak perlu membayar apa-apa kepada Talam, tetapi Talam diberikan sejumlah tanah yang begitu luas sebagai imbalannya. Ada berkata keluasan tanah itu melebihi 1,300 ekar dan nilainya jauh berlipat kali ganda daripada RM600 juta. Dr Khir juga dikatakan menerima imbuhan lumayan daripada Talam, minta siasat.

5. Menteri Besar didakwa menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS dalam satu mesyuarat, untuk mendapatkan sebidang tanah di Shah Alam, sehingga menyebabkan pengurusan PKNS membuat dua kali tawaran harga tanah tersebut kepadanya. Ini kerana MB tidak berpuas hati dengan tawaran harga yang pertama.

6. Butiran lanjut boleh disemak dari lamanweb http://64.4.14.250/cgi-bin/linkrd?_lang=EN&lah=2471a75a223db9059fe9960a6d6df307&lat=1003826344&hm___action=http%3a%2f%2fdetik%2edaily%2etripod%2ecom.

F. MOTIF ADUAN

Tiada tujuan lain kecuali memastikan setiap wang rakyat dan khazanah negara ini tidak dibolot oleh mana-mana pihak secara tidak bertanggungjawab. Proses mengagihkan kekayaan negara harus adil dan melalui prosedur yang telus. Kebajikan majoriti rakyat, khususnya golongan miskin, mesti diutamakan.

Amalan korupsi, pilih kasih, nepotisme, mementingkan diri dan kelompok mesti disekat dan dibanteras. Sistem yang korup akan menjerumuskan sesiapa saja termasuk mereka yang pada mulanya berakhlak mulia. Bagi saya, proses permohonan mendapatkan tanah, dan bagaimana ia diluluskan perlu dirombak secepat mungkin.

Amat tidak wajar seorang MB berkuasa mutlak menentukannya; begitu juga dengan prosedur meluluskan projek-projek pembinaan di bawah kerajaan negeri. Kuasa mutlak MB harus dimansuhkan segera. BPR wajar mendapat maklumat lanjut proses penganugerahan tender ini dengan JKR negeri kerana ia berbeza dengan proses di Persekutuan. Kuasa MB terhadap Pengarah JKR Negeri cukup ketara.

Saya mengharapkan BPR dapat menjalankan siasatan terperinci, bukan saja dalam kes-kes yang saya jelaskan di sini, tetapi juga kes-kes lain yang turut disyakki. Saya hanya mengutarakan keputusan permohonan kelulusan tanah daripada hanya tiga kali mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, dan dua projek dalam pakej pembinaan jalanraya B44 di Sekinchan. Dibimbangi banyak lagi kes lain yang turut mengandungi elemen rasuah yang ketara.

Setakat termampu, saya akan memberikan kerjasama. Segala penyelidikan yang saya lakukan hanyalah usaha perintis bagi memudahkan BPR, yang tentunya mempunyai kemampuan dan kelebihan untuk melakukan siasatan secara lebih professional dan menyeluruh, tanpa takut dan bimbang.

Siasatan BPR juga diharap dapat menamatkan segala tohmahan buruk kepada Menteri Besar Selangor, jika didapati ia tidak benar ataupun tidak mempunyai fakta yang cukup untuk mensabitkannya.

Di atas kerjasama dan perhatian serius BPR terhadap aduan saya ini, saya dahulukan jutaan terima kasih.

Sekian.

AHMAD LUTFI BIN OTHMAN
No. K/P: 630709-02-5667

One Response to “ADUAN RASUAH YANG DIPANDANG SEPI”

  1. Sasha2020 February 24, 2009 at 3:31 pm #

    Ini semua cerita lama. MB masa tu dah explained dgn panjang lebar semasa sidang DUN. MB pun dah disiasat oleh BPR masa tu tapi didapati tak ada kes yg boleh digunakan untuk mendakwa beliau. Kenapa nak ungkit lagi kes ni.
    Byk fakta yg diberikan tak tepat dan mengelirukan. Mungkin dpt dari maklumat yg tak lengkap.
    Tapi PR ni biasalah. Bila lepas dia kata BPR dah kena beli. BPR tak nak dakwa MB dan byk lagi. Ini alasan yg dah basi. Nak muntah aku dengar.
    Kalau nak cakap pasal intergriti dan telus serta tak ambil rasuah, kita kena istiqomah. Kena ada prinsip. Kalau salah atau ada rasuah, mereka perlu dihukum biarpun dia dari kalangan kita.
    Contuh MB selangor sekarang. Kalau dia salah, kita kena hukum dia. Suruh letak jawatan. Bukannya memebela orang perasuah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: